ISU lelaki curang sedang hangat diperkata oleh media massa dan sosial. Lelaki seumpama ini dikatakan memiliki ciri-ciri kasanova.
Istilah kasanova berasal daripada istilah Inggeris, iaitu casanova. Carian dalam Kamus Oxford mendapati kata casanova didefinisikan sebagai a man who has sex with a lot of women. Kamus Dewan Edisi Keempat pula merekodkannya sebagai lelaki yang suka memikat dan memperdaya wanita. Penggunaannya dalam masyarakat hari ini diperluas dengan menyamakannya dengan lelaki curang, tidak setia, kaki perempuan, mata keranjang, hidung belang, buaya darat dan yang terbaharu – love scammer.
Istilah ‘kasanova’ ini dipetik daripada nama seorang lelaki berbangsa Itali, iaitu Giovanni Giacomo Casanova yang lahir pada 1725. Casanova mengenali erti hubungan kelamin seawal usia 16 tahun dan seawal itu jugalah dia melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang undang-undang.
Siapa Casanova?
Dia mengikuti kegiatan keagamaan di gereja sebagai pendakwah Kristian namun lebih banyak meluangkan masa dengan aktiviti sosial dan berfoya-foya dengan banyak perempuan. Perangai buruknya itu mendapat perhatian dunia apabila dia telah menghamilkan ramai wanita termasuk anaknya sendiri. Dia pernah beberapa kali didakwa atas tuduhan memperkosa namun dilepaskan dan dibebaskan.
Casanova pernah terlibat dalam bidang ketenteraan dan muzik sehingga namanya tersohor pada era itu. Hidupnya dilimpahi kemewahan apabila menjadi pemegang taruh terbesar dalam sebuah syarikat perjudian. Namun kekayaannya itu disalurkan kepada aktiviti seksual dengan wanita-wanita yang bekerja dengannya sehingga pernah dipenjarakan akibat menanggung hutang yang banyak.
Pada saat-saat akhir hidupnya, dia menjadi pustakawan di sebuah kediaman bangsawan di Istana Dux, Bohemia yang kini dikenali sebagai Istana Duchov, Republik Czech. Casanova pernah melahirkan sebuah buku autobiografi sehingga namanya terkenal seluruh dunia namun kemasyhurannya itu bukanlah tanda dia disukai oleh masyarakat sekitarnya.
Sikap buruknya itu membuatkan masyarakat pada zaman tersebut membencinya malahan mengutuk segala perbuatannya dengan gelaran kaki perempuan sehingga ke akhir riwayatnya. Dia mati tanpa disanjung namun namanya meniti di bibir masyarakat sehingga namanya direkodkan dalam kamus terkenal dunia.
Pembentukan istilah
Pembinaan istilah dalam bahasa Melayu memerlukan konsep dasar yang tertentu. Istilah ialah kata atau gabungan kata yang menjelaskan sesuatu makna, konsep, proses, keadaan atau ciri khusus. Konsep pertama dalam pembinaan atau pembentukan istilah mengambil kira hal tataistilah dan tatanama, iaitu peraturan yang membentuk istilah dan peraturan untuk menentukan nama.
Sesuatu istilah yang dibina mempunyai makna yang khusus pada bidang tertentu seperti bidang seni, sains, teknologi, agama, undang-undang dan sebagainya. Istilah juga boleh menjadi umum dan khusus.
Pembentukan istilah juga berpandukan sumber istilah yang terdiri daripada perbendaharaan kata umum bahasa Melayu, bahasa serumpun dan bahasa asing. Dalam mauduk perbincangan tentang istilah ‘kasanova’ ini, tumpuan diberikan terhadap pembentukan perbendaharaan kata bahasa asing dalam subbidang penyerapan istilah asing.
Pinjaman
Istilah asing boleh dipinjam atas beberapa dasar, iaitu kesesuaian makna, lebih singkat daripada terjemahan bahasa Melayu dan memudahkan penyelarasannya (sekiranya istilah bahasa Melayu mempunyai banyak sinonim). Terdapat istilah asing tertentu yang sebutan dan ejaannya kekal dalam semua bahasa dan digunakan juga dalam bahasa Melayu seperti bona fide, esprit de corps, weltanschauung dan sebagainya.
Dalam konteks pembinaan istilah bahasa Melayu, kata ‘kasanova’ dibentuk ejaannya daripada bahasa sumber yang disesuaikan. Sebutannya pula mengikut sistem bunyi bahasa Melayu dengan menukar konsonan C kepada konsonan K.
Istilah ini pada asalnya tergolong dalam golongan kata nama khas, iaitu Giovanni Giacomo Casanova lalu diserap menjadi kata pinjaman daripada bahasa asing ke bahasa Melayu maka menjadi kata nama am.
Proses pembentukan kata dan istilah dalam bahasa Melayu bersifat dinamik. Hal ini berupaya mengembangkan penggunaan bahasa Melayu ke peringkat global melalui proses pinjaman dan serapan. Bahasa Melayu tidak akan pupus selagi bahasa tersebut bersifat dinamik dan kekal relevan sepanjang zaman.
* Azura Halid merupakan pejuang Bahasa Melayu yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
** Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Azura Halid
Sun Mar 24 2024
Casanova mati tanpa disanjung namun namanya meniti di bibir masyarakat sehingga namanya direkodkan dalam kamus terkenal dunia. - Gambar hiasan
PH pertahan DUN Kuala Kubu Baharu, majoriti 3,869 undi
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkongsi pandangan mengenai keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan PH berjaya mempertaahankan kerusi berkenaan.
Dituduh jadi 'badi' dalam keluarga, ibu tergamak buang anak OKU dalam lubuk buaya
Mangsa yang dikenal pasti sebagai Vinod disahkan mengalami masalah pendengaran dan pertuturan.
Hari Ibu: Raja Permaisuri Agong berangkat ke sambutan peringkat kebangsaan
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2024 Di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (Lppkn) Di Ayer Keroh, Melaka.
JS-SEZ dijangka dibangunkan di Iskandar Malaysia dan Pengerang - Onn Hafiz
Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) dijangka dibangunkan di kawasan Iskandar Malaysia dan Pengerang melibatkan keluasan 3,505 kilometer persegi.
KKM sasar sifar kes kusta menjelang 2030
Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan sifar kes kusta tempatan baharu menjelang 2030, kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
MFL diminta pertingkat kawalan keselamatan di stadium, tempat penginapan
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meminta Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) meningkatkan tahap keselamatan pemain ketika pergi dan pulang dari stadium.
Ballon d’Or berpotensi milik Vinicius - Carlo Ancelotti
Junior merakamkan persembahan menakjubkan untuk membantu Real Madrid memenangi trofi saingan LaLiga dan memburu Piala Liga Juara-juara Eropah keduanya.
Rebut takhta popular, YouTuber maut ditikam pesaing sewaktu bersiaran langsung
Insiden berlaku semasa Joddoltv bersiaran langsung ketika menghadiri perbicaraan di mahkamah membabitkan dia dan suspek.
Bas terbalik di Jawa Barat ragut 11 nyawa, puluhan cedera
Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan puluhan cedera apabila bas persiaran yang dinaiki mereka terbalik di jalan berbukit di Subang, Jawa Barat.
'Penentu kejuaraan EPL di tangan kami' - Guardiola
PEP Guardiola berkata penentuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) berada di tangan mereka sendiri selepas kemenangan 4-0 ke atas Fulham pada Sabtu.
[KOLUMNIS] 'Kasanova': Daripada kata nama khas kepada kata nama am
Istilah asing boleh dipinjam atas beberapa dasar, iaitu kesesuaian makna, lebih singkat daripada terjemahan bahasa Melayu dan memudahkan penyelarasannya.
Lagi kasanova laman sosial aniaya teman wanita, larikan RM65,000
Suspek mengugut jika mangsa enggan berbuat demikian, dia akan bertindak menyebarkan gambar separuh bogelnya ke dalam internet.
Saya bingung dan pemikiran seperti dikawal 'kasanova' - Pegawai polis wanita
Seorang pegawai kanan polis wanita memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa dia tidak mempunyai niat untuk melepaskan seorang tahanan dikenali 'kasanova', dua tahun lepas.